-
PROGRAM KEMBALI KE DESA Kampung Seri Tiram Jaya, Tanjong Karang, Selangor bermatlamat untuk memperkayakan semula golongan cerdik pandai kampung itu yang kini semakin berkurangan dengan penghijrahan mereka ke bandar-bandar dan lain-lain daerah.
Program tersebut dirasmikan serentak dengan Kumpulan Pendengar, Pembaca dan Penonton (K3P) anjuran bersama RTM dan Kumpulan Utusan Melayu pada 20hb. Jun 1992. Ia dirasmikan oleh bekas Menteri Besar, Tan Sri Muhammad bin Mohd Taib pada pukul 10.00 pagi.
Menurut Pengerusi Program Kembali ke Desa dan K3P Tanjong Karang, En. Abdul Halem bin Mat Som, program berbentuk pesta dan perhimpunan semula (reunion) itu bertujuan menghimpunkan anak-anak jati bekas penduduk kampung tersebut termasuk bekas-bekas guru dan golongan profesional. Dengan kembalinya mereka ke kampung asal, mereka dapat mencurahkan tenaga dan bantuan khidmat nasihat kepada golongan belia-belia yang menetap di kampung dalam menjalankan projek-projek ekonomi dan aktiviti berpesatuan.
Program ini merupakan projek perintis dan dikelolakan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), UMNO Cawangan Seri Tiram Jaya, dan Pertubuhan Belia MAYC (KEMUDI) Seri Tiram Jaya. Program ini juga mendapat kerjasama daripada kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan.
Dalam erti kata lain, program ini adalah program serampang dua mata di mana penyatuan pandapat dan tenaga dapat menghasilkan kreativiti berkesan untuk pembangunan sosio ekonomi di samping mewujudkan penyatuan penduduk jati kampung. KEMUDI berkemampuan menjalankan projek berbentuk gergasi itu di mana sambutan menggalakkan diberikan oleh beberapa persatuan kampung, mukim dan daerah ini disamping sokongan kuat kerajaan Negeri Selangor.
![]() |
Bekas Menteri Besar bersama Menteri Besar sekarang diiring ke padang Sekolah Kebangsaan Sri Tiram.
Program Kembali ke Desa dan pelancaran Projek K3P ini diadakan selama 2 hari. Pada hari pertamanya (20 Jun 1992) diadakan ekspo termasuk pameran gerai-gerai hasil barangan daripada usahawan belia tempatan. Serentak dengan pelancaran projek K3P itu, acara larian perpaduan diadakan. Antara acara yang turut disediakan ialah pertandingan pameran hasil aktiviti penduduk dan belia setempat, pertandingan nyayian lagu-lagu 60-an, sukan tradisional dan pertandingan melukis untuk kanak-kanak.
Para penduduk pula berpeluang berhibur dan mengenali dengan lebih dekat juruhebah-juruhebah mini-studio Radio Tiga Shah Alam (RTSA). Di sebelah malamnya pula diadakan 'Malam Seribu Kenangan'. Beberapa anugerah dalam pelbagai kategori disediakan. Antaranya anugerah rumah impian, keluarga akademik, kebun impian, dan lain-lain. Acara ini diserikan dengan deklamasi sajak dan bacaan puisi daripada beberapa penyair tempatan termasuk yang berasal dari daerah ini seperti Kemala, Wazata Zain, Pyan Habib, dan bekas kumpulan Kopratasa.
Pada hari keduanya pula diadakan sudut bersama-sama artis, derma darah, pertandingan gubahan bunga, seminar dan forum mengenai pembangunan mental dan motivasi.
![]() |
Diantara penerima cenderamata di Program Kembali Ke Desa dan Projek K3P Seri Tiram Jaya
![]() |
Sambil melawat gerai pameran K3P Seri Tiram Jaya, Menteri Besar Selangor sempat menghilangkan dahaga dengan minum air tebu.
![]() |
Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhamad bin Mohd Taib melawat tapak pameran sambil diringi oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Abu Hassan Omar.
-
Copyright Reserved. (P) & (C) 1998 Eijal STJ WEB Master. This Page Updated : Monday, December 21, 1998 11:39:44 AM |