Index | Tinta Pengarang | Diari | K3P | Lagu | Penduduk | Profil | Biro-Biro | Sejarah | Tatacara | Ucapan |
SEJARAH ASAL KAMPUNG SERI TIRAM JAYA
Kampung Seri Tiram Jaya yang dikenali pada hari ini adalah berasal dari nama Kampung Tiram Buruk yang telah dibuka pada tahun 1932. Kampung Tiram Buruk sebenarnya terbahagi kepada tiga bahagian iaitu:
1. Kampung Tiram Buruk (Kg Seri Tiram Jaya
sekarang)
2. Kampung Baru Tiram Buruk
3. Kampung Ulu Tiram Buruk
Kawasan
kampung ini agak luas. Bagaimanapun kampung yang ramai penduduknya pada
masa itu ialah Kampung Tiram Buruk. Kebanyakan penduduknya terdiri daripada
bangsa Melayu, manakala di bahagian kampung Baru pula ramai di kalangan
penduduknya terdiri daripada kaum Cina. Sementara di bahagian Ulunya tidak
ramai penduduk yang tinggal.
Kampung Tiram Buruk pada peringkat awalnya mempunyai seramai lebih kurang 2000 ke 3000 orang penduduk dengan bilangan rumahnya kira-kira 250 buah di bahagian kampung dan selebihnya di kawasan sawah.
Kampung Tiram Buruk mendapat nama sekitar 1925 di mana ulu kampung ini iaitu di Jalan Raja Musa sekarang terdapat sebuah sungai yang mengandungi banyak tiram yang sudah mati. Ianya terletak kira-kira 7 kilometer dari Kuala Selangor (terdapat dapat lagenda Keramat Anak Dara). Kampung ini dibuka oleh orang Melayu ketika itu tetapi terbengkalai di pertengahan jalan menyebabkan ramai orang-orang Jawa datang bekerja di sana dan berjaya membuka tanah di kawsan tersebut.
Oleh kerana kawasan ini tertlalu jauh di kawasan pendalaman, ramai penduduk di sana menjual tanah mereka kepa kaum Cina. Orang- orang Jawa kemudiannya telah membuka tanah baru yang dijadikan sawah padi iaitu di kawasan block U dan X sekarang. Kawasan ini telah dibuka sekitar tahun 1932. Dalam tahun yang sama kawasan kampung bersebelahan sawah padi telah dibuka. Sidang Haji Hussin telah mengetuai pembukaan tanah tersebut dan berhenti sekitar tahun 1935. Sidang Haji Ahmad Marjono mengambil alih usaha pembukaan tanah-tanah baru ini.
Tidak lama kemudian, orang kerajaan telah datang
dan bertanya kepada penduduk-penduduk tentang nama kampung tersebut. Oleh
kerana kebanyakan penduduk di sana adalah berasal daripada kampung Tiram
Buruk, maka secara otomatik kampung tersebut dinamakan Kampung Tiram Buruk
iaitu bersebelahan dengan kampung asal mereka.
Pada tahun 1938, orang-orang Batak telah datang
untuk mengambil upah mengerjakan sawah-sawah baru di Block E dan F. Usaha
bersawah ini diteruskan oleh orang-orang Jawa sehingga kini.
Tahun 1940 zaman pemerintahan Jepun zaman memeritkan di kebanyakan rumah penduduk dibakar dan dibom kerana mereka beranggapan Tiram Buruk adalah kawasan komunis. Penduduk dihalau, di arak ke Raja Musa tetapi dibenarkan balik semula setelah maklumat yang diterima mereka adalah salah.
Tahun 1946 merupakan zaman pembesaran kampung kerana bilangan penduduk semakin bertambah. Setiap penduduk diberi sebidang tanah kampung dan tanah sebidang tanah sawah. Oleh kerana itu geran tanah mereka masih lagi bercantum sehingga ke hari ini. Bilangan penduduk semakin bertambah. Kerajaan berusaha membuka tanah FELDA. Ramai yang berpeluang menjadi peneroka.
Pada tahun 1977, Kementerian Pendidikan Malaysia telah meluluskan pertukaran nama dari Sekolah Kebangsaan Tiram Buruk ke Sekolah Kebangsaan Sri Tiram. Setahun kemudian, dalam Mesyuarat Agung PIBG sekolah YB Datin Paduka Zalehan Ismail, ADUN Permatang yang juga EXCO Negeri Selangor telah menyarankan agar nama kampung juga diubah kepada nama baru yang kekal hingga ke hari ini iaitu Kampung Seri Tiram Jaya.
Pada 1 Julai 1989, YAB Tan Seri Dat Muhamad b Hj Muhamad Taib selaku Menteri Besar Selangor telah mengisytiharkan nama kampung yang baru iaitu Kampung Seri Tiram Jaya bersama logo kampung.
Pada 20 Jun 1992, Kampung Seri Tiram Jaya sekali lagi melakar sejarah dengan mengadakan Program Kembali ke Desa dan melancarkan Kumpulan Pendengar, Penonton dan Pembaca (K3P) yang disempurnakan oleh YAB Tan Seri Muhamad b Hj Muhamad Taib, Menteri Besar Selangor.
Pentadbiran kampung di kenal sebagai Tok Sidang atau Pak Lurah. Tahun demi tahun pucuk pimpinan kampung bersilih ganti. Antara pemimpin kampung ialah:
1. Tn Hj Ahmad Marjono b Kasan Ilhar
- 1932 1953
2. Tn Hj Ahmad Betawi
- 1953 1955
3. Tn Hj Abd Mongin b Sartam
- 1956 1960
4. Tn Hj Omar b Kasan Ilhar
- 1961 1968
5. Tn Hj Omar@ M Misman b Hj Kahar
- 1969 1970
6. Tn Hj Omar b Kasan Ilhar
- 1970 1996
7. Tn Hj Wagiman b Idris PJK
- 1.8.1997 sekarang
Pada 13 Jun 1998, Kampung Seri Tiram Jaya telah
dimasukkan dalam Program Gerakan Desa Wawasan yang dilancarkan oleh YB
Dato K. Kumaran, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia disamping
melancarkan laman web Seri Tiram Jaya.